Sinopsis Kisah Cinta
Kisah
Cinta mengisahkan tentang cinta yang berputik dari pertemuan yang
tidak diingini. Segalanya bermula semasa kemalangan tragis pada malam
tahun baru 2013 di mana Zainal dan Zaharah maut selepas kereta mereka
dirempuh dari belakang.
Konflik
timbul sewaktu pengurusan tuntutan mayat oleh waris si mati apabila
Azalea, anak perempuan Zainal dan Shah, anak lelaki Zaharah
melaporkan yang ibu bapa mereka bukan pasangan suami isteri. Malah,
Azalea tidak pernah mengenali Zaharah dan Shah tidak pernah mengenali
Zainal. Dalam erti kata lain, Shah dan Azalea tidak mengenali satu
sama lain.
Setelah
selesai segala urusan tuntutan jenazah dan kedua pasangan ini
telahpun disemadikan, Azalea dan Shah mula mencari jawapan untuk
segala persoalan dan kemusykilan yang timbul daripada kejadian tragis
yang menimpa ibu bapa mereka ini. Akhirnya, mereka membenci antara
satu sama lain selepas menemui jalan buntu dan mula menuding jari
menyalahkan diri masing-masing atas kejadian yang berlaku.
Semasa
mengemas barang-barang peninggalan arwah ibunya, Shah terjumpa sebuah
kotak yang mengandungi surat-surat lama milik Zainal dan ibunya.
Asalnya Shah mahu membuang sahaja surat-surat tersebut tetapi
dihalang oleh Azalea. Menurut Azalea, dia juga menjumpai surat-surat
antara bapanya dan Zaharah. Azalea ingin tahu kesinambungan
surat-surat tersebut. Baginya, ini merupakan peluang keemasan untuk
menyelesaikan semua tanda tanya. Shah jelas tidak berminat. Dia takut
kebenaran akan melukakan hati semua pihak.
Setelah
dipujuk Azalea, Shah akur untuk setuju. Pasangan ini cuba menyelami
kisah sebenar Zainal dan Zaharah berpadukan kronologi cerita yang
dapat mereka ungkapkan dari surat-surat tersebut. Mereka mula
menjejak kaki ke tempat-tempat yang tertulis, mencari nama-nama
yang disebut, memahami perkara-perkara yang diceritakan. Satu-persatu
kisah terungkai. Dalam tidak sedar, Azalea dan Shah mula mencipta
kisah mereka sendiri di atas perjalanan ibu bapa mereka.
Walaupun
begitu, perjalanan mereka bukanlah semudah itu. Pelbagai halangan
yang harus ditempuh. Kekasih Azalea, Huzir kurang senang dengan
situasi ini. Marina, ibu Azalea juga tidak suka dengan usaha anak
perempuannya. Baginya, Zaharah adalah perempuan simpanan suaminya dan
Shah seperti ibunya, bukanlah orang yang baik. Shah pula terpaksa
mengorbankan waktu kerja sehingga dibuang kerja. Misi mereka untuk
mencari jawapan terpaksa dihentikan. Hidup dan realiti mereka perlu
diteruskan.
Kembali
ke kehidupan sebenar memberi makna baru pada hubungan Azalea dan
Shah. Mereka mula saling merindui. Apakah pasangan ini cukup
tabah untuk melawan situasi dan emosi? Sementara itu, satu kronologi
kisah cinta ibu bapa mereka terungkai di mana ada kebarangkalian
bahawa mereka adalah adik beradik. Adakah ini kenyataan yang harus
mereka terima? Atau masih ada lagi jawapan yang tertinggal?

